SEREMBAN, 11 April — Pekerja kontraktor dilihat melakukan kerja-kerja mengecat garisan jalan di sebuah persimpangan berhampiran pekan Rantau. Pengundi Rantau akan menjalani proses mengundi sekali lagi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau pada 13 April ini selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan calon BN di kerusi DUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu adalah tidak sah dan terbatal. PRK ini juga menyaksikan pertembungan empat penjuru diantara calon PH Dr S Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan Malar Rajaram (Bebas). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Streram yakin umum manifesto saat akhir bantu kemenangan

SEREMBAN, 11 APRIL: Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan pengumuman manifesto pada saat-saat akhir untuk melonjakkan calonnya, Dr S. Streram mendahului calon lain pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau, Sabtu ini.

Dr Streram berkata, manifesto itu sudah hampir siap dan dijangka dilancarkan pada bila-bila masa sebelum tempoh berkempen tamat, pada 11.59 malam esok.

“Saya sudah lihat draf akhir manifesto dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, manifesto itu turut merangkumi isu setempat.

“Saya bertanding bukan untuk beri janji kosong, saya bercakap berkenaan fakta, apa yang saya mahu lakukan untuk masyarakat di sini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pemeriksaan mata percuma di Balai raya Kampung Siliau, di sini hari ini.

Difahamkan manifestonya mengandungi tujuh isu utama.

Mengulas kenyataan Pengerusi MCA Seremban, Siow Koi Voon yang menyatakan pengundi Cina di Rantau “rindu” bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan akan mengundi calon Barisan Nasional itu, Dr Streram berkata MCA hanya bermimpi.

“Saya nak tanya, berapa banyak kerusi mereka (MCA) di Parlimen sekarang? Anda fikir kaum Cina sokong mereka? Apapun saya rasa mungkin (anggota) MCA juga akan undi saya,” katanya berseloroh.

Selain Dr Streram dan Mohamad, PRK itu juga ditandingi dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -BERNAMA


Pengarang :