NASIONAL

SUHAKAM hargai jasa Razali

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merakamkan ucapan penghargaan kepada Tan Sri Razali Ismail, yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi suruhanjaya berkenaan, pada 15 April lalu.

Pemangku Pengerusinya, Jerald Joseph berkata, Razali berjaya memperkukuhkan profil suruhanjaya itu dan berdiri teguh dengan prinsip hak asasi manusia melalui sokongannya terhadap semua usaha serta pendirian suruhanjaya terbabit, sepanjang menerajuinya selama tiga tahun.

“Ini termasuk penyertaan kepada triti antarabangsa yang akan memastikan perlindungan hak asasi dapat diserapkan di dalam undang-undang.

“Ia juga meliputi dedikasi tanpa henti beliau dalam memperjuangkan perubahan sosial dan institusi yang amat diperlukan bagi perlindungan terhadap kesaksamaan serta keadilan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Joseph berkata, pengalaman Razali pada peringkat antarabangsa dan sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), termasuk kerjasama dengan masyarakat adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam usaha dilakukan suruhanjaya itu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Razali meletak jawatan berkenaan dua minggu sebelum tempoh tugasnya tamat, iaitu pada 27 April ini.-BERNAMA


Pengarang :