BERITA UTAMASUKANKINI

Sukan Luar Bandar pupuk kesedaran amalan hidup bersukan

OLEH AFIX REDZUAN

PAYA JARAS, 14 APR: Penganjuran program Sukan Luar Bandar edisi Selangor 2019 adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi memupuk kesedaran bersukan dalam kalangan rakyat, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, berdasarkan laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS), hanya 25.4 peratus daripada rakyat Malaysia aktif manakala selebihnya aktif secara minimum (41.1 peratus) dan tidak aktif (33.5 peratus).

“Sukan Luar Bandar pada pandangan kita perlu dilakukan di semua tempat dan daerah kerana mampu memupuk minat serta menarik rakyat untuk bersama-sama bersukan pada satu hari ditetapkan.

“Ini adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS), langkah proaktif proses transformasi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan dapat dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berkata, gaya hidup rakyat Malaysia yang tidak aktif menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan selain mudah mendapat penyakit jantung koronari dan obesiti.

Di samping itu, penganjuran Sukan Luar Bandar itu turut dijadikan medan mempamerkan bakat dalam bidang sukan selain asas memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Penganjuran di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras adalah yang kedua selepas Kampung Sungai Buaya, Banting semalam dan program ini akan diperluaskan di seluruh daerah di Selangor.

Antara 12 acara sukan dipertandingkan adalah bola jaring, sepakan penalti, anyam ketupat, sumpit, masuk benang dalam jarum serta boling kelapa.

Turut berlangsung perlawanan persahabatan bola sepak antara Otai Lagend yang menampilkan bekas pemain kebangsaan menentang EXCO FC.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :