NASIONAL

Sumbangan asing, pendapatan dikaji berdasarkan kes-LHDN

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Cukai ke atas sumbangan atau pendapatan asing akan dikaji berdasarkan kes sebelum keputusan dibuat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sambil berkata beliau tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

“Kami tidak boleh membincangkan urusan percukaian dengan orang ramai. Ia akan dilihat berdasarkan kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Agenda Reformasi Percukaian Baharu Malaysia – Apa Seterusnya, sini hari ini.

Beliau menjawap soalan mengenai penyata cukai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan sebanyak RM1.5 bilion, termasuk derma RM2.6 bilion yang didakwa daripada Arab Saudi.

Sementara itu, Sabin berkata LHDN yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM147 bilion tahun ini walaupun menghadapi cabaran ekonomi global.

“Kami sudah berada pada landasan yang baik setakat ini. Jumlah yang dikumpul akan digunakan untuk operasi kerajaan,” katanya.

Sabin berkata di bawah kerajaan baharu, LHDN akan meneruskan komitmennya untuk mengukuhkan sistem percukaian dengan menambah baik bagi memastikan setiap orang membayar bahagian yang saksama.

“Perubahan cukai bukanlah semata-mata mengenai cukai baharu. Ada isu yang perlu ditangani seperti pengisytiharan pendapatan, memalsukan dokumen dan pembayar cukai yang tidak membayar jumlah yang betul,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Sabin menggesa rakyat Malaysia yang mahu mengisytiharkan cukai mereka secara sukarela menerusi Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) berbuat demikian sebelum berakhir pada 30 Jun 2019, untuk melayakkan mereka mendapat pengurangan penalti, dengan kadar penalti akan meningkat kepada 300 peratus selepas itu.

“SVDP memberi peluang kepada anda untuk membersihkan sebarang isu cukai tertunggak, terutama yang tidak dilaporkan atau diisytiharkan pada masa lepas,” katanya.

Persidangan dua hari itu yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Institu Akauntan Malaysia dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia. -BERNAMA


Pengarang :