NASIONAL

Takaful Malaysia Keluarga agih zakat RM500,000

KOTA BHARU, 7 APRIL: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad akan mengagihkan zakat berjumlah RM500,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Wakil syarikat itu, Mohd Fakhrul Zaman Othman berkata agihan zakat itu akan dilakukan dengan jumlah yang berbeza.

“Ia merupakan sumbangan syarikat kami untuk bersama mendaulatkan agama Islam selain membantu MAIN melaksanakan program bagi membantu komuniti Islam.

“Jumlah pengagihan zakat bergantung kepada keuntungan kewangan syarikat dan kami berharap zakat perniagaan ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan syarikat terbabit di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan ( MAIK) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, cek zakat berjumlah RM 35,714.25 diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Mohd Azlan Abd Hadi.

Dalam pada itu, Mohd Fakhrul berkata selain agihan zakat, pihaknya turut melaksanakan program lain bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Kita juga melaksanakan program kemasyarakatan seperti program pendidikan, bantuan kepada orang kelainan upaya dan sebagainya pada setiap tahun.

“Kita harap program seumpama ini dapat diteruskan dengan mengekalkan atau meningkatkan keuntungan syarikat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :