NASIONAL

Tekun sedia ruang eksklusif buat usahawan Ramadan

KUALA LUMPUR, 30 APR: Tekun Nasional menganjurkan program ‘Ramadan Tiba Bersama Tekun’ sebagai antara inisiatif bagi menyediakan ruang pasaran yang eksklusif kepada usahawan bermula Sabtu lepas hingga 30 April ini.

Program yang diadakan di ruang legar lobi Medan MARA ini juga menekankan aspek jaringan pengukuhan usahawan terutama dalam mempertingkatkan produktiviti dalam mempromosi produk bagi meningkatkan jualan khususnya produk Bumiputera, menurut kenyataannya hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abd Ghani berkata, pihaknya mahu usahawan Tekun bukan hanya berjaya di peringkat tempatan malah berjaya hingga ke peringkat global.

Beliau berharap lebih ramai usahawan Tekun merebut peluang untuk menyertai pelbagai program atau ekspo termasuk di luar negara bagi mengutip pengalaman dan seterusnya menjadi inspirasi untuk mereka memasarkan produk ke peringkat global.

Program empat hari yang bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang terdiri daripada empat kluster iaitu hasil pertukangan, makanan dan minuman, fesyen, kecantikan dan spa.

Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Mac 2019, Tekun Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 425,264 usahawan, yang bernilai RM5.39 billion di seluruh negara.

— BERNAMA


Pengarang :