BERITA UTAMASELANGOR

Tempoh dua minggu siasat kilang punca pencemaran

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 19 APR: Pihak berkuasa negeri diberi tempoh dua minggu bagi melakukan siasatan terperinci terhadap kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, di sini, yang disyaki menjadi punca pencemaran akibat peleburan plumbum di kawasan terbabit.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor dan semua agensi berkaitan untuk melakukan penilaian serta kajian secara menyeluruh berkaitan isu terbabit.

Katanya, buat masa ini Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sudah menyita dan membatalkan lesen kilang terbabit sejak 15 Mac lalu.

“Kita melakukan lawatan hari ini kerana mendapat aduan daripada Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat dan persatuan penduduk sekitar yang mengadu terdapat pencemaran udara serta air berlaku di sini walaupun kilang sudah ditutup.

“Isu ini sebenarnya sudah berlarutan sejak 18 Disember tahun lalu dan sepatutnya memang tiada sebarang aktiviti dibenarkan namun kita masih memberikan kebenaran untuk mereka membaiki keadaan serta difahamkan usaha membaik pulih sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan tapak ke kilang terbabit di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, berdasarkan arahan dari Pejabat Tanah kawasan itu hanya dibenarkan untuk industri sederhana dan sebarang aktiviti membabitkan peleburan plumbum sama sekali tidak dibenarkan.

Hee berkata, kilang itu didapati melanggar syarat dan garis panduan ditetapkan selepas berlakunya kejadian kebakaran pada 13 Disember 2017 yang berpunca daripada litar pintas.

“Jadi, sehingga kini memang tiada lagi aktiviti peleburan plumbum kerana kemungkinan penduduk membuat aduan disebabkan mereka merasakan tahap asid yang tinggi di luar kawasan kilang selain bacaan kita lihat juga agak memuaskan.

“Kita akan jalankan ujian selama dua minggu dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Terdahulu, kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd yang menjalankan industri bateri itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan nilai pelaburan sejumlah RM120 juta daripada 60 peratus pelaburan asing Perancis dan 40 peratus tempatan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :