NASIONAL

Tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga bakal diumum

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Tempoh pemanjangan penguatkuasaan skim kawalan harga bermula Ramadan ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak seperti tahun sebelumnya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku manipulasi atau kenaikan harga barang kawalan.

“Kebiasaannya skim kawalan harga dikuatkuasakan sekitar 15 hari iaitu sebelum, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri.

“Tetapi kita akan panjangkan tempoh itu. Saya faham apabila kita mahu laksanakan perkara ini, ramai persatuan peniaga tidak bersetuju. Mereka menganggap kerajaan mahu campur tangan sampai begini.

“Saya akan dengar semua pihak dalam isu kawalan harga ini, namun kita tidak mengawal semua, hanya musim perayaan sahaja,” katanya pada Majlis Dialog bersama Media, di kementeriannya, di sini.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan menamatkan perincian di peringkat kementerian kerana penetapan itu turut membabitkan kerjasama peniaga, pihak kawal selia seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya bagi memastikan barangan mencukupi.

Sebelum ini, beliau berkata, usaha itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memberi jaminan dan keselesaan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga terkawal.

Pada penguatkuasaan skim kawalan harga sempena Tahun Baharu Cina lalu, hanya dua kes perlanggaraan harga dicatat daripada keseluruhan 27,000 premis membabitkan borong dan runcit yang diperiksa.


Pengarang :