KOTA BHARU, 6 April — Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, 45, akan melangsungkan perkahwinan dengan warga Sweden Sofie Louise Johansson, 33, pada 19 April ini. Istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung secara sederhana dan tertutup pada malam berkenaan di Istana Balai Besar di sini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tengku Mahkota Kelantan langsung perkahwinan 19 April

KOTA BHARU, 6 APRIL: Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, 45, akan melangsungkan perkahwinan dengan wanita Sweden, Sofie Louise Johansson, 33, pada 19 April ini.

Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung secara sederhana dan tertutup pada malam berkenaan di Istana Balai Besar di sini.

“Yang Teramat Mulia Tuanku turut bertitah agar cenderamata bersempena istiadat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan kebajikan di Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), rumah anak-anak yatim dan orang tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Yang Teramat Mulia Tuanku berharap agar sekelian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak akan dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT sehingga ke jannah,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Tengku Mohamed Faziharudean berkata, istiadat perkahwinan itu akan dimulakan dengan akad nikad dan disusuli dengan majlis persandingan serta jamuan diraja.

“Istiadat berkenaan akan dihadiri kerabat terdekat Diraja Kelantan dan kenalan terdekat baginda.

“Mungkin selepas istiadat perkahwinan baginda akan berangkat ke majlis bersama rakyat untuk memperkenalkan isteri yang merupakan kenalan lamanya kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, kad undangan perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan tular menerusi media sosial. –BERNAMA


Pengarang :