Jumlah deposit Tabung Haji meningkat hampir 16 peratus setakat Mei berbanding tempoh sama tahun lalu. Arkib SELANGORKINI
BERITA UTAMANASIONAL

TH umum agihan hibah 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018

PUTRAJAYA, 5 APR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan itu turut membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Menurutnya, TH juga telah mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018.

“Ini menunjukkan kedudukan kewangan yang kembali pulih jika dibandingkan dengan keadaan defisit RM4.1 bilion yang dialaminya berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2017,” katanya pada Majlis Taklimat Prestasi TH dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mujahid berkata, setakat 31 Disember 2018, TH telah merekodkan aset keseluruhan sebanyak RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabiliti berjumlah RM75.5 bilion.

Mujahid berkata, pendapatan TH bagi 2018 adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih pula berjumlah RM2 bilion.

“Walaupun (pelan) penstrukturan semula telah dilakukan, TH masih merekodkan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion yang mana sebahagian besar jumlah ini sepatutnya rosot nilai pada tahun kewangan sebelumnya.

“Ini seterusnya telah mengurangkan jumlah keuntungan boleh agih TH,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kerajaan juga telah menzahirkan komitmen menerusi peruntukan sebanyak RM500 juta pada 2020 dan seterusnya RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk dapat ditebus semula.

Malah, peruntukan yang disuntik oleh kerajaan kepada TH adalah selama 10 tahun yang dianggarkan berjumlah RM17.8 bilion.

“Ini adalah kesan daripada kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran lepas yang mana manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, hibah pada kali ini adalah yang terendah dalam sejarah namun yakin kewangan TH akan kembali pulih pada tahun akan datang.

“Perlu diingat bahawa keutamaan TH adalah untuk pengurusan ibadah haji jemaah negara ini dan jika ada keuntungan, ia adalah ok (baik)…kita tidak boleh bandingkan TH dengan (firma) pengurus dana,” katanya.

Zukri turut menyifatkan kejayaan proses pemulihan TH dalam tempoh singkat iaitu enam bulan adalah hasil sokongan penuh kerajaan terhadap pelaksanaan usaha penstrukturan semula kumpulan itu dalam mengimbangi semula kedudukan kewangannya.

“Kerajaan kini komited untuk menyediakan geran kepada SPV (Syarikat Tujuan Khas) bagi menebus sukuk itu setiap tahun iaitu RM500 juta pada 2020 dan 10 tahun berikutnya sebanyak RM1.73 bilion.

“Ini bagi memastikan TH memegang sukuk yang dimiliki SPV atau dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB). SPV ini dapat membuat bayaran itu sekarang disebabkan oleh komitmen kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ini merupakan usaha menyelamat oleh kerajaan, beliau berkata: “Ya, ini merupakan pelan menyelamat TH oleh kerajaan.”

Beliau turut ditanya mengapa usaha suntikan dana tersebut tidak diumumkan lebih awal ketika TH mengumumkan pelan penstrukturan semulanya atau ketika urus niaga dengan UJSB selesai.

“TH telah mematuhi standard perakaunan MFRS 9 yang baharu digunapakai pada 31 Dis, 2018.

“Ini menyaksikan TH menerima lebih daripada sepatutnya kerana mengambil kira kadar faedah masa hadapan,” katanya

Jelas Zukri, aset-aset TH yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing juga telah dipindahkan kepada UJSB.

“Aset-aset ini yang mempunyai nilai buku RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion diatasi,” katanya.

Menurutnya, usaha pemindahan ini akan dilakukan menerusi sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamat iaitu mengatasi jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :