EKONOMI

Thailand-Malaysia giat perluas perdagangan sempadan

NARATHIWAT, 28 APR: Thailand dan Malaysia komited memperluaskan perdagangan sempadan dan meningkatkan nilai dagangan dua hala di selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Delegasi Kementerian Perdagangan Thailand, Sarote Suwattigul berkata pameran perdagangan seperti “Pesta Perdagangan Sempadan Selatan Thai” merupakan satu inisiatif yang baik untuk memperluaskan ruang kerjasama dan perdagangan sempadan di kawasan itu.

“Kami berharap pameran ini dapat merangsang pertumbuhan dan pelaburan di tiga wilayah sempadan di selatan Thailand, khususnya Narathiwat, Pattani dan Yala.

“Kami mahu program seperti ini meningkatkan hubungan baik dan perdagangan antara usahawan Malaysia dan Thailand dan pada masa yang sama melahirkan lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) yang bakal mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Pamera perdagangan tiga hari bermula Jumaat lepas di Padang Maharaj, Sungai Golok merupakan anjuran Jabatan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand.

Ia membabitkan 120 gerai merangkumi 80 gerai produk dari Thailand dan 40 lagi gerai Malaysia.

Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, Pengarah Bahagian Asean dan Oceania Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamarzaman, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Mongkol Singsomboon dan wakil-wakil perniagaan dari Malaysia dan Thailand.

Selain pameran produk, pesta tersebut turut mengadakan seminar untuk pengusaha PKS.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Nik Mohd Fahim Muhaimin berkata pameran perdagangan yang menumpukan kepada ‘perniagaan kepada pengguna’ serta ‘perniagaan kepada perniagaan’ itu, dilihat bakal meningkatkan kerjasama perdagangan dan melahirkan lebih ramai pengusaha PKS.

“Saya berharap pameran perdagangan rentas sempadan ini akan meningkatkan nilai dagangan di sempadan Malaysia dan Thailand khususnya melalui Rantau Panjang dan Sungai Golok,” katanya.

Wilayah Narathiwat merupakan salah satu wilayah di selatan Thai yang diumumkan sebagai kawasan pembangunan khas ekonomi. Ia merupakan pintu ekonomi yang menghubungkan Malaysia-Thailand.

– BERNAMA


Pengarang :