NASIONAL

Tiada ancaman keselamatan usaha sama ECRL dengan firma China

KUALA LUMPUR, 18 APR: Kerajaan Malaysia akan menjadi pemilik 100 peratus bagi kesemua aset projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan usaha sama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) tidak akan menimbulkan sebarang ancaman kepada keselamatan negara, demikian menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Kerajaan akan memiliki sepenuhnya kesemua aset berkenaan melalui MRL dari peringkat awal hingga akhir pengaturan pengurusan, operasi dan penyenggaraan (MOM) bersama tersebut, katanya dalam kenyataan hari ini bagi memperjelas maklumat yang mengelirukan berhubung projek ECRL.

MRL berkata, usaha sama 50:50 antaranya dengan CCCC tidak akan memberi sebarang ancaman kepada keselamatan negara memandangkan firma usaha sama berkenaan adalah di bawah pengurusan Malaysia.

“Para pengarah firma usaha sama serta pelantikan ketua pegawai eksekutif akan dibuat mengikut budi bicara MRL,” katanya.

MRL berkata, mana-mana pihak perlu membezakan antara pemilikan dan operasi bersama.

“Pengaturan operasi bersama itu tidak dalam apa jua cara, melibatkan penyerahan sebarang bentuk pemilikan ECRL kepada CCCC.

“Ia semata-mata mengenai perkongsian kos MOM selain pertukaran pengetahuan teknikal serta kepakaran antara CCCC dan MRL,” menurutnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, adalah tidak wajar syarikat China itu menyertai projek ECRL dengan menguruskan 50 peratus daripada sistem tren berkenaan, memandangkan ia akan melibatkan keselamatan negara.

MRL berkata, dakwaan bahawa projek ECRL yang ditambah baik itu akan menyebabkan tempoh perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bertambah kepada lima hingga enam jam adalah mengelirukan, sebaliknya perjalanan hanya akan mengambil masa kira-kira empat jam.

“Jarak dari Kota Bharu ke Putrajaya Sentral berdasarkan Jajaran Selatan baharu adalah 550 kilometer (km) meliputi 17 stesen, manakala jarak dari Kota Bharu ke Gombak mengikut jajaran asal adalah 525 km melalui 18 stesen.

“Berasaskan kelajuan perjalanan 160 km sejam, tambahan 25 km (mengikut jajaran asal) akan menambah masa iaitu kurang daripada 10 minit bagi perjalanan itu dan ia yang akan dikurangkan lagi disebabkan pengurangan hentian,” menurutnya.

MRL turut menjelaskan pengurangan kos projek ECRL adalah kerana penjajaran baharu tersebut tidak memerlukan terowong sepanjang 18 km melalui Banjaran Titiwangsa selain pengurangan jumlah stesen yang akan dibina.

Syarikat itu berkata keseluruhan kos projek ECRL asal, termasuk kos landasan berkembar, adalah berjumlah RM65.5 bilion, termasuk bagi tujuan ‘terowong RM10 bilion’ (Terowong Genting) melalui Banjaran Titiwangsa.

“Sekiranya kami mahu melaksanakan Terowong Genting, kosnya hanya masih mencecah RM55.5 bilion.

“Berdasarkan penjajaran baharu tersebut, jumlah stesen adalah 20. Pengurangan kos selanjutnya daripada RM55.5 bilion kepada RM44 bilion tidak semestinya semata-mata disebabkan empat stesen yang tidak dimasukkan dalam jajaran berkenaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :