NASIONAL

Tiada keperluan jumpa PM isu pemutihan perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 22 APR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bercadang menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana beliau percaya Perdana Menteri dan kepimpinan lain seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berpengalaman dalam menangani perkara itu.

“Tiada keperluan untuk berjumpa Perdana Menteri kerana kita percaya beliau arif mengenai perkara ini. Itu hanyalah satu cadangan dan tidak semestinya cadangan ini dilaksanakan,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Badan-badan Berkanun Cuepacs, di sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Azih juga berkata, tiada sebab untuk meragui kesetiaan penjawat awam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka bekerja dan menjalankan tanggungjawab terhadap kerajaan memerintah dan bukannya parti politik.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia supaya Seksyen 52 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dipinda bagi memberi keadilan kepada pekerja di badan berkanun termasuk badan berkanun yang diasingkan saraan.

Katanya, pindaan itu akan membolehkan mereka merujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap pertikaian yang berlaku dalam kerja mereka termasuk dalam hal tatatertib dan pembuangan pekerja.

“Ketika ini mereka tidak boleh rujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap mana-mana kes yang berkaitan tatatertib mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata, CUEPACS bersetuju dengan cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengurangkan masa bekerja doktor pelatih.

Azih berkata, ia bertepatan dengan kenyataannya pada Disember lepas yang menyatakan tahap stress pekerja di Malaysia adalah tinggi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :