Jumlah deposit Tabung Haji meningkat hampir 16 peratus setakat Mei berbanding tempoh sama tahun lalu. Arkib SELANGORKINI
NASIONAL

Tiada pendeposit tutup akaun, malah bertambah – Mujahid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Tiada pendeposit Tabung Haji (TH) yang bertindak menutup akaun atau mengeluarkan wang simpanan mereka ekoran permasalahan akar umbi prestasi kewangannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof berkata, setakat tengah hari tadi tiada sebarang pergerakan luar biasa, sebaliknya menerima penambahan pendeposit baharu.

“Setakat ini tiada pergerakan luar biasa, bahkan kita menerima pendeposit baharu.

“Saya harap pendeposit kekal di TH kerana kita mempunyai pelan menyeluruh untuk memulihkan prestasi kewangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Negeri 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Majis negeri, di sini.

Dr Mujahid berkata, bagi memulihkan TH, kerajaan akan memberi suntikan dana RM17.8 bilion dan peruntukan RM500 juta pada 2020, seterusnya RM1.73 bilion setahun mulai 2021 sehingga semua sukuk ditebus semula.

Katanya, menerusi langkah pertama itu, kerajaan akan berjaya mengekalkan kepercayaan orang ramai kepada TH.

“Saya meminta orang ramai supaya terus yakin dan kekal bersama TH kerana kita kini berada di landasan tepat untuk memulihkannya.

“Kerajaan meletakkan kebajikan kepada pendeposit supaya boleh mengerjakan ibadah haji sebagai keutamaan.

“Saya yakin pada masa hadapan, kita mampu memberikan hibah lebih dan pengurusan haji itu dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau dijangka akan membentangkan kenyataan rasmi berkenaan status TH di sidang Parlimen esok.

Setakat 31 Disember lalu, TH merekodkan aset keseluruhan RM76.5 bilion, sekali gus mencatat lebihan aset RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kedudukan kewangannya kembali pulih berbanding defisit aset RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan diaudit pada 2017.

Baru-baru ini, TH mengumumkan kadar agihan hibah Tabung Haji bagi Tahun Kewangan 2018 ialah 1.25 peratus.


Pengarang :