NASIONAL

Tidak sampai 30 jam, tahanan lolos lokap berjaya ditahan

KOTA BHARU, 4 APR: Seorang tahanan yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Bachok, berjaya ditahan semula polis berdekatan Jalan Tok Guru, di sini, kira-kira pukul 5.45 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Pokis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika menunggang motosikal yang dipercayai dicuri di Bachok sebelum itu.

“Operasi mengesan tahanan itu dilancarkan selepas dia dikatakan melarikan diri dengan memecahkan siling dan atap bahagian atas lokap di mahkamah di Bachok. Orang Kena Tuduh (OKT) itu dibawa ke lokap mahkamah bagi sebutan kesnya yang dituduh di bawah Seksyen 15 (e) Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Dalam kejadian pukul 1.10 petang kelmarin, seorang tahanan dikenali sebagai Dahalan Abdul Ghani melarikan diri dengan memecahkan siling dan atap bahagian atas lokap di mahkamah, dan Hasanuddin berkata polis membuat sekatan jalan raya dan operasi memburunya di seluruh kawasan di Bachok dan daerah lain.

“Kita sudah keluarkan arahan untuk mencari suspek di seluruh Bachok dan sekitar sebaik suspek berjaya meloloskan diri dan kali terakhir dia dilihat berpakaian baju T berwarna putih bergambar kartun dan berseluar gelap.

“Usaha polis akhirnya berhasil apabila lelaki itu berjaya ditahan semula tidak sampai 30 jam selepas lolos,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :