NASIONAL

Timbang keperluan tubuh pusat pemulihan khas mental ekoran dadah

PASIR MAS, 7 APRIL: Kerajaan akan menimbang keperluan untuk menubuhkan pusat pemulihan khas bagi mereka yang menghidap sakit mental akibat pengambilan dadah sintetik seperti pil kuda dan syabu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ia berikutan ramai penagih dadah yang mengalami sakit mental akibat penyalahgunaan dadah jenis itu.

Beliau berkata setakat ini, Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Tampoi, Johor mungkin boleh dijadikan pusat rawatan pertama bagi kes berkenaan kerana berdekatan dengan Hospital Permai yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikiatri.

“Melihat kepada trend sekarang kita perlu menimbang kalau perlu ada pusat seperti di Johor itu disebabkan jangkaan ramai akan mengalami sakit mental akibat pengambilan dadah sintetik.

“Buat masa ini kita belum ada lagi pusat pemulihan khas bagi penagih dadah sintetik ini. Apa yang kita tahu kesan ketagihan dadah sintetik ini berbeza dengan penagih yang mengambil dadah jenis heroin dan dadah tradisional yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Ketua Pengarah AADK Malaysia Bersama Pemimpin Komuniti di Tendong yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong Rozi Mohammad dan Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad.

Sementara itu, Hasanuddin berkata pelantikan Pegawai Perhubungan Masjid di setiap masjid di negeri ini telah dimulakan.

“Setiap pegawai yang dilantik akan berkenalan dengan lebih rapat dengan imam masjid masing-masing supaya sebarang urusan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah terutama membabitkan pelbagai program berkaitan komuniti,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :