BERITA UTAMANASIONAL

TIME iktiraf Tun Mahathir antara 100 tokoh berpengaruh dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR : Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiktiraf antara 100 individu paling berpengaruh dalam dunia oleh majalah TIME, tahun ini.

Senarai ‘100 Most Influential People’ dikeluarkan setiap tahun oleh majalah terkenal itu sebagai penghormatan kepada tokoh berpengaruh daripada pelbagai latar belakang.

Setakat ini hanya Tun Mahathir yang menempa sejarah menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali.

Sebelum itu, beliau adalah Perdana Menteri keempat Malaysia yang dilantik dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Namun selepas Pilihan Raya Umum ke 14, Ahli Parlimen Langkawi mencatatkan sejarah dengan kembali menggalas jawatan nombor satu negara.

Beliau juga pemimpin dunia paling tua setelah Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya pada Mei tahun lalu.

“Bagi Malaysia, episod ini telah memekarkan semula demokrasi di negara yang menuju era kuku besi,” kata Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown dalam coretannya di TIME.

Turut tersenarai dalam pengiktirafan TIME 2019 ialah Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan ahli kongres wanita Amerika Syarikat paling muda, Alexandria Ocasio-Cortez.

Pada 2015, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga pernah disenaraikan sebagai antara tokoh paling berpengaruh oleh majalah berkenaan.


Pengarang :