Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima

KUALA LUMPUR, 11 APR: Laporan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dekat Kota Tinggi Johor, dijangka diterima Kementerian Sumber Manusia petang ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak JKKP Johor telah mengarahkan pasukannya memulakan proses siasatan dan pemeriksaan awal kejadian yang dilapor pada pukul 1.20 pagi itu.

“Setakat ini belum dapat maklum balas, mungkin petang ini dapat laporan awal…apa-apa tindakan yang perlu diambil akan diputuskan berdasarkan ‘recommendation’ daripada JKKP Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan Operasi Cegah Jatuh dan Cegah Runtuh di Tapak Pembinaan, di sini hari ini.


Dalam kejadian kebakaran dan letupan di tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang itu, dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Sementara itu, Mahfuz berkata, sebanyak 479 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi sebulan yang bermula 1 Mac lepas dengan tumpuan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.

“JKKP juga menggunakan dron bagi meninjau keadaan dan pematuhan aktiviti pembinaan di tempat tinggi seperti tepian terbuka dan operasi kren menara,’” katanya.

Mahfuz berkata, hasil daripada operasi itu, JKKP mengeluarkan 719 surat arahan terhadap pelbagai kesalahan; 2,160 notis pembaikan dan larangan; menyita 1,131 tapak pembinaan; mengeluarkan 864 kompaun; dan 128 tapak pembinaan pula berhadapan tindakan pendakwaan mahkamah.

Setakat 2019, terdapat 18,000 tapak pembinaan yang berdaftar dengan JKKP.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next