PBTSELANGOR

Tindakan tegas sewa, jual lot bazar kepada pihak ketiga

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang menyewakan tapak perniagaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga.

Timbalan Datuk Bandarnya, Rashidi Ruslan berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk tindakan penguat kuasaan dalam tempoh 30 hari sepanjang bulan Ramadan.

“Kita beri amaran keras kepada peniaga supaya mereka yang mengusahakan perniagaan itu nanti mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan MBSA.

“Saya mohon kerjasama daripada peniaga supaya memastikan mereka benar-benar menjalankan perniagaan selepas kita memberi kelulusan permit.

“Malah, kita sudah menambah baik sistem permohonan permit secara dalam talian yang lebih teratur dan cekap. Jadi, semua berpuas hati dengan kaedah digunakan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya mengenal pasti dua kes peniaga bazar yang bertindak menyewakan tapak perniagaan kepada pihak ketiga, pada 2016.

Katanya, peniaga terbabit menggunakan Facebook sebagai medium mempromosi dan menjual lot gerai kepada orang lain dengan kadar sewaan jauh lebih tinggi daripada sewa dibayar kepada MBSA.

“Mereka bayar sewa kepada kita hanya RM280, tetapi mengaut keuntungan dengan menjual lot berkenaan sehingga RM5,000 kepada pihak luar.

“Berdasarkan sistem pada masa itu, seorang pemohon boleh mengambil sehingga 10 borang, jadi jika lima daripada 10 lot diluluskan, mereka hanya menggunakan dua lot sahaja, manakala selebihnya menyewakan kepada orang lain,” katanya.


Pengarang :