NASIONAL

Tinggal RM35 juta, FELDA mereput angkara FGV

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: “FELDA yang dahulunya hebat duduk diatas berbilion tunai, makin mereput apabila hanya tinggal RM35 juta selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih kerajaan,” kata Dr Mohd Radzi Mohd Jidin.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, titik kejatuhan agensi itu bermula selepas penyenaraian Felda Global Ventures Bhd (FGV) 2012 apabila merekodkan kerugian dari tahun ke tahun.

Katanya, FELDA tidak lagi mampu memberi pulangan semasa selepas mendapat RM5.8 bilion daripada penyenaraian FGV.

“FELDA mencatatkan keuntungan RM1 bilion pada 2017, RM1.1 bilion (2008), RM0.2 bilion (2009), RM1.1 bilion (2010), RM0.2 bilion (2011) dan RM5.8 bilion (2012),” katanya dalam temubual di TV3, semalam.

Namun, tambahnya, selepas mendapat keuntungan itu, kerugiannya mula menurun kepada RM2 bilion pada 2013, RM1 bilion (2014), RM1.1 bilion (2015) dan RM0.7 bilion (2016).

Mohd Radzi berkata, lebih buruk lagi, FELDA tidak menggunakan keuntungan RM5.8 bilion itu untuk membina kapasiti dan kekuatan masa depan institusi berkenaan.

“Pada 2000, Felda pernah berjaya membayar hampir semua hutangnya lebih awal dari dijadualkan termasuk hutang bank dunia. Namun, itu hanya kekuatan FELDA sedekad lalu (10 tahun).

“Hasilnya, FELDA semakin mereput itu antara yang dilihat pada hari ini sedangkan FELDA merupakan agensi yang berjaya membangunkan ekonomi luar bandar sehingga berjaya menjadi intitusi mandiri,” katanya.

FELDA yang ditubuhkan pada 1958, diasaskan menjaga tanah peneroka sekitar 400,000 hektar serta 360,000 hektar lagi adalah milik agensi itu dan diusahakannya sendiri.

“Hasil keuntungan digunakan bagi menampung perkara berkaitan kebajikan peneroka. Apabila FGV disenaraikan, 360,000 hektar tanah itu dipajak kepada FGV dalam tempoh 99 tahun menerusi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

“Dengan sewa RM248 juta dan keuntungan di atas tanah FELDA sebanyak 15 peratus, FELDA menerima RM400 juta dari sewa dan perkongsian keuntungan.

“Namun, hakikatnya, FELDA memerlukan sekitar RM800 juta pada ketika itu,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA), di Dewan Rakyat.

Kertas itu dibentangkan ekoran kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion sehingga terpaksa menerima suntikan dana RM6.23 bilion.


Pengarang :