BERITA UTAMANASIONAL

TPM kecewa usaha kembali status asal Sabah dan Sarawak gagal

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 10 APR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa kecewa di atas kegagalan usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 .

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ketika perbahasan, dilihat semua pihak seperti bersetuju berkaitan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sama dengan semenanjung.

“Namun mengecewakan apabila melihat ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menolak (usaha ini) dengan tidak mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui media selepas Lawatan ke Markaz Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) itu gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat, malam tadi.

Hasil undian mendapati ia kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti 148 undi daripada 222 anggota Parlimen.

Seramai 138 anggota parlimen menyokong pindaan, tiada yang menolak dan 59 pula tidak mengundi.


Pengarang :