Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Pusat Kecemerlangan Halal Global Malaysia di Bosnia

KUALA LUMPUR, 4 APR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan terus mempromosi Pusat Kecemerlangan Halal Malaysia secara global, dengan pusat pertama di luar negara akan dibuka di Bosnia hujung bulan ini.

Beliau berkata pusat itu akan menganjurkan program-program pembangunan kapasiti, dan latihan kepada industri untuk diiktiraf halal.

“Pusat ini akan dikembangkan ke lain-lain tempat di seluruh dunia tidak lama lagi,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis makan malam penghargaan sempena Sidang Kemuncak Halal Global 2019 (GHaS’19) di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata, beliau ingin melihat lebih ramai usahawan Muslim, terutama dari golongan muda, menggunakan landasan digital untuk mempromosi amalan dan produk halal mereka.

Katanya aplikasi mudah alih, kecerdasan buatan, robotik dan rekacipta inivatif boleh digunakan untuk meningkatkan ekosistem global halal.

“Kaum Muslim perlu setanding dengan lain-lain pemain global dalam revolusi digital ini dan mampu menggunakan platform digital itu untuk menunjukkan bahawa cara hidup Islam adalah cara yang sesuai untuk semua,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, yang menyampaikan anugerah Meembar Halal Media Awards 2019 kepada anggota media yang cemerlang, termasuk dari agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dalam pelbagai kategori.

Petugas yang mengharumkan nama Bernama di majlis itu ialah Erda Khursyiah Basir dan Muhammad Basir Roslan dalam kategori Portal Berita dan Media Bercetak; Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman, Mohd Afiz Bakri, Siti Zafirah Mohamad Kamal dan Mahmad Fauzi Sarin dari Bernama News Channel dalam kategori VIdeo Atas Talian dan Penyiaran TV; serta jurufoto Syed Muhammad Zahid Makbul Wafa Syed Mohd Mumtaz Wafa dalam kategori Media Sosial.

– BERNAMA


Pengarang :