NASIONAL

Tragedi Highland Towers: Titik tolak tertubuhnya SMART

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 10 APR: Tragedi Highland Towers runtuh pada 1993 memberi kesan mendalam kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, perasaan sama juga dirasai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

“Sebelum itu kita merasakan bangunan tinggi tidak akan runtuh begitu sahaja tetapi nampaknya berlaku dalam tragedi Highland Towers.

“Maka saya dan suami rasa cemas sebab kalau bangunan Highland Towers boleh runtuh, adakah ada bagunan lain juga yang kurang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Timbalan Perdana Menteri Ke Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Katanya, beliau yang ketika itu masih bertugas sebagai Pegawai Perubatan di sebuah hospital sentiasa mengikuti perkembangan tragedi itu sambil berdoa lebih ramai terselamat.

Tragedi Highland Towers runtuh berlaku pada 11 Disember 1993 dengan mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi itu juga merupakan titik tolak kepada idea menubuhkan SMART yang kini dianggotai 133 anggota terdiri daripada 54 pegawai Angkatan Tentera Malaysia, 41 pegawai Bomba dan 38 pegawai Polis Diraja Malaysia.


Pengarang :