BERITA UTAMAGLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Angka kematian meningkat 207 orang

COLOMBO, 21 APRIL: Angka kematian dalam lapan siri letupan di Sri Lanka hari ini meningkat kepada 207 orang, manakala 450 cedera, menurut BH Online yang memetik laporan AFP.

Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera berkata, setakat ini tiga orang sudah ditahan berhubung serangan yang mensasarkan hotel mewah di ibu negara, selain gereja.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada penyerang bom nekad terbabit dalam semua letupan itu.

Insiden letupan itu dilaporkan berlaku antara jam 8.30 hingga 9 pagi waktu tempatan, ketika penganut Kristian menyambut Hari Easter.

Hotel dan salah sebuah gereja itu berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.

Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan terbabit berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.

Angka korban dan cedera itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas pihak berkuasa mengemaskini jumlah terkini mereka yang terbabit.

 


Pengarang :