BERITA UTAMAGLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Angka korban meningkat 310

 

COLOMBO, 23 APR: Jumlah kematian akibat insiden pengeboman maut di Sri Lanka pada Ahad meningkat kepada 310 orang, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis hari ini.

Satu lagi letupan kecil berlaku di Kochchikade di ibu kota Colombo petang semalam, bagaimanapun tindakan pantas Skuad Pemusnah Bom berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.

Jurucakap Polis, Ruwan Gunasekara berkata, setakat ini 26 suspek telah ditahan dan operasi mencari diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Katanya, langkah keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh negara dan menggesa orang ramai tidak berhimpun di tempat awam.

Orang ramai juga diminta segera memaklumkan pihak polis jika menemui bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di jalan raya atau di dalam pengangkutan awam.

Jurucakap kabinet Sri Lanka, Rajitha Senaratne, memberitahu pemberita semalam bahawa polis sebelum ini dikatakan menerima maklumat kemungkinan berlaku serangan pengganas, namun tidak mengambil sebarang langkah pencegahan.

Kerajaan akan menyiasat perkara itu dan memohon maaf atas apa yang berlaku, katanya.

Presiden Maithripala Sirisena mengisytiharkan darurat dari tengah malam semalam untuk memastikan keselamatan rakyat dan penyelenggaraan barang keperluan serta perkhidmatan.

– BERNAMA


Pengarang :