GLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Polis tahan 13 inidividu

COLOMBO, 22 APRIL: Seramai 13 individu ditahan susulan beberapa siri letupan yang meragut 228 nyawa di seluruh negara pulau itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Polis berkata, kesemua suspek ditahan di ibu kota Colombo dan 10 daripada mereka tdiserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe berkata, kesemua yang ditahan adalah warga Sri Lanka dan operasi pencarian sedang dijalankan untuk memburu lebih ramai suspek.

Beliau berkata, sejumlah 228 orang maut manakala 450 lagi cedera dalam lapan insiden letupan pada Ahad.

Presiden Maithripala Sirisena turut melantik satu suruhanjaya khas untuk menyiasat serangan itu.

Letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka, semalam ketika ratusan penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter, kata polis.

Jurucakap polis SP Ruwan Gunasekara berkata, satu letupan berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade manakala letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota pada Ahad pagi.

Letupan ketiga menggegarkan Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo, manakala satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan sebuah zoo di Dehiwala dan satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota. -BERNAMA


Pengarang :