SELANGOR

Tubuh majlis khas pastikan pelancongan Kuala Selangor berkelas dunia

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Majlis Pelancongan Kuala Selangor bakal ditubuhkan bertujuan mengatur dan menyusun perancangan serta pelan bagi menjadikan sektor pelancongan daerah itu terbaik di Malaysia dan dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

“Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan Majlis Pelancongan Daerah Kuala Selangor dengan tujuan melihat pelan induk dan perancangan pelancongan di daerah ini.

“Pelan itu akan membabitkan aset pelancongan berkualiti dan berkelas dunia yang ada di daerah kuala Selangor. Malah ia sejajar dengan gugusan pembangunan agro pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengenai dana kepada majlis itu, Kerajaan Negeri akan melihat hasil perancangan daripada pelan induk terbabit terlebih dahulu.

“Soal dana kita akan tengok pelan dulu, saya yakin jika perancangan baik, dana daripada persekutuan turut akan disuntik,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan membangunkan sektor pertanian dan perikanan yang menjadi aktiviti ekonomi rakyat di Daerah Kuala Selangor.


Pengarang :