SELANGOR

Tukang cuci terima enam kali anugerah perkhidmatan cemerlang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 8 APR: Bergelar sebagai tukang cuci tidak pernah menghalang wanita berusia 58 tahun menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak enam kali.

Beliau, Seh Ai Hiong menerima pengiktirafan itu ketika berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sepanjang tempoh 38 tahun.

“Mula-mula saya bekerja sebagai tukang cuci sampah di jalanan, pada waktu itu saya terpaksa berdepan dengan cuaca panas dan juga hujan, tetapi kerja tetap kerja, saya kena lakukan tanpa merungut.

“Kemudiannya saya bekerja sebagai tukang cuci di pejabat, pada waktu itu lebih seronok kerana tidak lagi perlu berpanas.

“Saya ingin nasihatkan kepada anak-anak muda di luar sana, jangan memilih kerja, gunakan peluang yang ada dan jika sudah bekerja lakukan dengan ikhlas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Apresiasi Warga Kerja MPSJ 2018 di Holiday Villa Hotel & Conference Centre, di sini.

Ai Hiong diantara 21 pesara yang diraikan turut menerima sijil penghargaan serta saguhati sebanyak RM900 daripada Kelab Sukan dan Kebajikan MPSJ.

Hadir sama Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dan Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Zulkurnain Che Ali.


Pengarang :