Tular misi jejak acap Sabtu ini tidak libat bomba | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Tular misi jejak acap Sabtu ini tidak libat bomba

IPOH, 4 April: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menafikan pihaknya terlibat dalam operasi ‘Misi Mencari MD Ashraf Besar Besaran’ pada Sabtu ini, seperti yang tular di media sosial.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Perak, Mohd Fadli Nik Abu berkata, orang awam atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu operasi mencari dan menyelamat peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, itu dinasihatkan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sebelum menjalankan aktiviti berkenaan.

“Ini kerana, viral tersebut boleh menyebabkan kehadiran orang awam yang ramai sehingga mengganggu keharmonian di sekitar kampung terlibat.


“Malah, ia akan mengganggu fokus pencarian oleh agensi penyelamat selain aspek-aspek keselamatan kerana terdapat punca penyebab dalam kawasan pencarian seperti contoh gambar yang dijumpai pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Fadli menasihatkan agar sebarang pergerakan masuk perlu merujuk kepada pihak polis, bomba dan agensi keselamatan di pos kawalan pencarian di Kampung Pintu Padang, Gopeng bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Hari ini, tular di laman sosial memaparkan gambar Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, tertera tulisan “Jom Kome!! Berkumpul di tapak perkhemahan Gua Tempurung, 8 pagi, Sabtu ini”.

Pada gambar itu, turut meminta individu yang ingin menyertai operasi tersebut membawa Radio Komunikasi VHF atau UHF sendiri selain tidak membenarkan membawa peralatan memuja atau aktiviti khurafat.

Mohammad Ashraf dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari berkenaan di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 pagi, hari berikutnya.

– BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next