NASIONAL

Tun M kesal wang, masa habis cipta senjata

KUALA LUMPUR, 4 APARIL: Tun Dr Mahathir Mohamad, melahirkan rasa kesal terhadap sikap masyarakat masa kini yang menghabiskan lebih banyak wang dan masa untuk melakukan penyelidikan bagi mencipta senjata daripada keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Perdana Menteri berkata, kemajuan teknoloji dan inovasi pada masa kini telah menyebabkan orang mempunyai nilai moral yang buruk dan mempergunakan kuasa dengan cara yang salah.

“Hari ini, saya sedih untuk mengatakan setiap penemuan baharu adalah mengenai cara untuk membunuh manusia. Kita melihat bahan letupan digunakan dalam semua jenis senjata untuk membunuh orang.

“Mikrocip, misalnya, hanyalah koleksi transistor yang telah banyak dijiplak. Ia bukan untuk kebaikan manusia dan saya tidak fikir ia harus digunakan untuk pengetahuan dan kuasa kita untuk melakukan perkara-perkara tersebut (pembunuhan orang),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama menutup Forum CEO 2019 anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini, hari ini.

Misalnya, katanya, dalam aspek teknologi dan inovasi, beliau menjangkakan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) sebagai acara pertunjukan berskala kecil melibatkan pesawat kecil.

“Kami mempunyai LIMA…saya mahu LIMA menjadi pertunjukan yang kecil, pesawat kecil tetapi sekarang anda melihat semua jet pejuang yang besar dan kita menagungkannya,” katanya.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, modal kewangan yang ada perlu digunakan untuk penyelidikan mengenai rawatan kanser atau penyakit lain.

Pada sidang media kemudian, Dr Mahathir membidas kenyataan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang menafikan pihaknya sengaja melewatkan perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan penangguhan diberi berikutan banyak permohonan difail pendakwa.

Beliau menganggap kelewatan mereka meneruskan prosiding perbicaraan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sehingga hampir enam bulan, sebagai satu perkara luar biasa.

“Kalau kes kepentingan awam begitu kuat patut dibicarakan secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bebas untuk melakukan siasatan terhadap badan penguat kuasa itu dan kerajaan tidak akan campur tangan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan penubuhan IPCMC bagi menyiasat kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat yang didakwa membabitkan polis Cawangan Khas (SB) seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Kita perlu menangani sebarang aduan mengenai polis. IPCMC adalah suruhanjaya yang bebas dan oleh itu kita tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan dan terpulang kepada mereka untuk memutuskan,” katanya.

Semalam, SUHAKAM merumuskan bahawa kes melibatkan Koh dan Amri adalah berupa kehilangan paksa yang mungkin melibatkan penglibatan ejen-ejen kerajaan seperti polis Cawangan Khas.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai berkata dapatannya adalah berdasarkan inkuiri suruhanjaya itu terhadap kehilangan mereka.

Ditanya mengenai nasib Malaysia Airlines Berhad (MAB), Perdana Menteri berkata kerajaan masih meneliti pelbagai cadangan mengenai syarikat penerbangan nasional itu.

“Kita masih teliti cadangan yang banyak (diterima). Ada yang kata tak patut jual, ada kata jual separuh. Ada kata usahasama dengan negara lain, ini semua sedang dipertimbangkan pihak kerajaan,” katanya. –BERNAMA


Pengarang :