–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tun M: Parti politik ada mandat pilih PM, MB

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Parti politik mempunyai kuasa menentukan pentadbiran dan kepemimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk memilih perdana menteri dan menteri besar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ini kerana parti politik mendapat mandat daripada rakyat untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara.

Katanya, jika kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar terletak di bawah raja maka Malaysia bukan lagi sebuah negara demokratik.

“Walaupun rakyat sudah pilih parti yang berhak untuk melantik menteri besar, tetapi ini dinafikan hak rakyat, maka kita bukan demokrasi, kita sudah jadi kerajaan raja berkuasa mutlak.

“Kalau ini yang sebenarnya, kita boleh adakan perbahasan tentang ini. Sama ada kita menerima sistem pemerintahan yang sedia ada iaitu raja tidak berkuasa, hanya mengambil tindakan atas nasihat perdana menteri di peringkat pusat dan menteri besar di peringkat negeri, atau sistem itu dihapuskan maka kita tidak perlu ada pilihan raya lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen, mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar supaya pihak luar jangan sibuk mencampuri urusan negeri itu kerana negeri berkenaan masih mempunyai seorang sultan.

Titah sultan itu dikatakan berkaitan dengan pengisian jawatan menteri besar Johor selepas Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan, pada Isnin.

Mengulas lanjut berkenaan titah itu, perdana menteri berkata, kerajaan mengambil serius perkara berkenaan.

“Ini adalah perkara serius kerana di waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenalkan undang-undang negara perlembagaan.

“Dalam perlembagaan ini kita sudah nyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu dan negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan bukan raja yang berkuasa mutlak.

“Kalau ditanya masih ada peruntukan dalam undang-undang atau perlembagaan Johor yang memberi kuasa kepada sultan, itu terbatal kerana Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara kita,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :