KUALA LUMPUR, 6 April — Para pengunjung melintas jalan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Jalan TAR pada minggu pertama penutupan jalan itu kepada kenderaan persendirian bermula bulan ini. Tinjauan fotoBernama mendapati percubaan pertama penutupan jalan di Jalan TAR yang dilaksanakan bermula hari ini, tidak menjejaskan bilangan pengunjung di kawasan tersebut yang sering menjadi tumpuan warga kota untuk membeli-belah. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Tutup laluan: Jalan TAR tetap jadi tumpuan pengunjung

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang dilaksanakan secara percubaan bermula hari ini, tidak menjejaskan bilangan pengunjung di kawasan tersebut yang sering menjadi tumpuan warga kota untuk membeli-belah.

Tinjauan Bernama mendapati, walaupun laluan dari Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo hingga ke Jalan Melayu ditutup, ratusan pengunjung tetap meluangkan masa bersama keluarga mereka sambil membeli barangan peribadi seperti baju, seluar dan tudung.

Turut kelihatan beberapa pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengawasi persimpangan laluan sebelum memasuki jalan berkenaan bagi membantu mengurangkan kesesakan di jalan berhadapan Sogo.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui menyambut baik penutupan jalan itu yang tidak membenarkan kenderaan persendirian melalui laluan berkenaan dalam usaha kerajaan menjadikan Jalan TAR lebih mesra kepada pejalan kaki.

Seorang suri rumah, Norzalilah Dza’bar, 32, dari Ampang di sini berkata ia merupakan langkah yang amat baik bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pejalan kaki yang mengunjungi Jalan TAR.

“Mudah dan jimat masa bagi kita (pejalan kaki) nak melintas jalan sebab laluan ini sudah ditutup. Tak perlu lagi kita nak kena tunggu lampu isyarat untuk pejalan kaki baru boleh melintas.

“Jadi, bila kereta dan motor pun tidak boleh lalu jalan ini, saya rasa pejalan kaki, terutama yang bawa anak kecil berasa lebih selamat sebab kadang-kadang pemandu memandu dalam keadaan bahaya tanpa fikir keselamatan pejalan kaki,” kata ibu kepada dua anak perempuan itu ketika ditemui Bernama.

Selain itu, seorang pekerja syarikat swasta, Ahmad Nazreen Rahman, 27, berkata inisiatif tersebut dilihat dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Bas GoKL bagi memudahkan perjalanan pengunjung.

“Mungkin selepas ini, mereka (orang awam) yang mahu membeli-belah di Jalan TAR pada hujung minggu, akan menaiki pengangkutan awam agar dapat mengelakkan melalui kesesakan lalu lintas,” katanya yang hadir bersama isterinya dengan menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Gombak.

Bagi seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Leow Hui Qing, 19, rancangan kerajaan untuk menutup jalan itu setiap hari Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April ini, adalah fasa percubaan yang sangat bagus di samping dapat menjadikan Jalan TAR lebih teratur sebagai pusat membeli-belah.

KUALA LUMPUR, 6 April — Pemandangan udara di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Jalan TAR pada minggu pertama penutupan jalan itu kepada kenderaan persendirian bermula bulan ini.
Tinjauan fotoBernama mendapati percubaan pertama penutupan jalan di Jalan TAR yang dilaksanakan bermula hari ini, tidak menjejaskan bilangan pengunjung di kawasan tersebut yang sering menjadi tumpuan warga kota untuk membeli-belah.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Bagaimanapun, saya rasa mungkin pihak terlibat perlu mencari alternatif untuk menyediakan tapak parkir yang khas untuk pemandu kereta persendirian meletakkan kenderaan mereka di kawasan berhampiran atau bersesuaian,” kata pelajar Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah itu.

Sementara itu, seorang penjual kain di premis Jalan TAR yang ingin dikenali sebagai Anati, 39, berkata penutupan jalan itu juga tidak menjejaskan perniagaannya kerana masih ramai pengunjung datang membeli di kedainya.

“Alhamdulillah…saya rasa tutup jalan atau tidak tiada perbezaan dalam perniagaan saya. Setakat ini, pelanggan pun kerap datang dan membeli kain di kedai saya,” katanya.

Pada Mac lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dilapor berkata rancangan menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April ini.

Memetik laporan itu, beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, hanya bas, teksi, polis, bomba, ambulans dan kenderaan penguat kuasa sahaja dibenarkan melalui jalan berkenaan.

Penutupan jalan itu melibatkan Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli belah Sogo hingga ke Jalan Melayu bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam. -BERNAMA


Pengarang :