SELANGOR

UiTM bolot debat IPT Piala Dato’ Menteri Besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 15 APR: Pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya membolot kejuaraan Debat Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Dato’ Menteri Besar Selangor di Kampus Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.

Selain berjaya mengalahkan 42 pasukan IPT lain, dua pendebatnya, Muhammad Azizi Hamil, 22 dan Muhammad Syafiq Jebat, 22 berjaya merebut gelaran Pendebat Terbaik Keseluruhan dan Pendebat Terbaik Pusingan Akhir.

Pasukan yang disertai Nurul Syafiqah Zamri, 22 dan Muhammad Iqmal Khaa Johan, 22 itu turut membawa piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM9,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua pasukan, Mohd Azizi berkata, kejayaan manis itu adalah hasil usaha beliau dan rakan-rakannya berhempas pulas hampir sebulan lamanya.

Katanya, selama tempoh itu mereka terpaksa bersaing dengan kekangan masa untuk menghabiskan kerja yang diberikan pensyarah, serta pada masa sama membuat latihan debat.

“Gandingan kami ini adalah pertama kali dalam sejarah selepas bersaing dengan hampir 80 pendebat terbaik seluruh UiTM dalam negara ini.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang memberikan ruang ini kepada penuntut seperti kami untuk membahaskan isu semasa,” katanya.

Pasukan UiTM berjaya menewaskan pasukan debat daripada Institut Perguruan Malaysia (IPG) dengan berjaya menolak usul Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Selaku pembangkang dalam sesi debat terbabit, Mohd Azizi berkata, IR4.0 adalah topik yang amat menarik untuk dikupas mahasiswa.

“Apabila menerima tajuk sedemikian, ia membolehkan saya dan rakan-rakan memahami dengan lebih terperinci berkenaan IR4.0, tahniah kepada Selangor kerana menjadi negeri peneraju dalam revolusi terbaru ini,” katanya.


Pengarang :