SELANGOR

Ukur prestasi kerja penjawat awam melalui LNPT

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri menggunakan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sebagai salah satu mekanisme pengukuran prestasi kerja penjawat awam Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu bagi menentukan prestasi kerja penjawat awam dapat diukur dan dinilai dengan lebih adil serta objektif.

“Sistem pemarkahan diberi perlulah berpatutan, wajar, tidak terlalu ekstrem dan memberi gambaran sebenar prestasi pegawai yang dinilai.

“Ini kerana terdapat kes pegawai yang dinilai diberi markah melebihi 96 peratus atau menghampiri tahap maksimum sedangkan masih terdapat banyak ruang bagi anggota berkenaan untuk memperbaiki kelemahan diri dan prestasi kerjanya.

“Setiap penilaian prestasi dibuat perlu bersifat lebih objektif dan realistik bagi menggambarkan prestasi sebenar anggota berdasarkan kepada pencapaian hasil kerja, pengetahuan, kemahiran, kualiti peribadi serta sumbangan pegawai dalam tahun penilaian,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 Dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) Tahun 2019, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK), di Dewan Banquet Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor; Dato’ Masri bin Mohd Daud dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada majlis sama, Amirudin mengingatkan penjawat awam mempraktik dan menitikberatkan beberapa prinsip asas bekerja seperti ketepatan masa, ketepatan fakta, teliti dan terperinci dalam melaksanakan tugas.

“Jika rinsip berkenaan diamalkan, saya yakin dan percaya Pentadbiran SUK Selangor mampu menghasilkan modal insan dan sistem penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi serta bertaraf kelas dunia,” katanya.


Pengarang :