SELANGOR

Umpama helang, MB ‘tawan’ Jugra

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 APR: Teruja dan menakjubkan! Itu ungkapan yang disifatkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas membuat pendaratan luncur udara atau paragliding di Bukit Jugra, petang tadi.

Beliau ketika ditemui dilihat sangat bersemangat dan yakin biarpun kali pertama melakukan sukan ekstrem berkenaan.

Tanpa rasa takut, Amirudin diterbangkan juruterbang, Mohd Fahrol Jamaluddin dengan ketinggian 120 meter dari paras laut.

Amirudin berkata, pengalaman meluncur di udara itu sangat berharga dan menarik untuk merakamkan keindahan alam semula jadi sesuai untuk bersantai sambil menghirup udara segar.

Katanya, pengalaman terbang selama 10 minit di sekitar Bukit Jugra, mampu memberi perspektif baharu kepada sesiapa yang pertama kali mencuba aktiviti berkenaan.

Beliau bertuah kerana berpeluang melihat sendiri keindahan Kuala Langat khususnya Jugra.

“Saya sangat gembira dan begitu teruja dengan pengalaman ini, insyallah selepas ini saya akan mencubanya lagi.

“Kali ini rasa selamat kerana ada juruterbang bersama, belum mencuba seorang diri, namun kita faham untuk terbang sendirian memerlukan kemahiran dan latihan yang tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkenalkan sukan lasak di kawasan berkenaan, Amirudin berkata, ia termasuk dalam gugusan eko pelancongan dan pelan menyeluruh akan dirangka supaya ia terkenal di seluruh dunia.

Katanya, pihaknya percaya Majlis Daerah Kuala Langat mempunyai rancangan untuk menaiktaraf insfrastruktur dan kemudahan sedia ada selain mempertingkatkan pembangunan sukan itu.

“Ini termasuk menyediakan kawasan pendaratan yang lebih baik selain meletakkan aktiviti itu dalam kalendar Tourism Selangor dengan penganjuran pertandingan atau aktiviti yang berkualiti.

“Bukit Jugra adalah salah satu kawasan yang menyediakan aktiviti paragliding ini, sudah tentu ia akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Bukit Jugra dibuka pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari 1859 hingga 1898.

Ia adalah kawasan strategik kerana berhampiran dengan laut, menghadap perairan Selat Melaka.

Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu bernama Tanjung Kera.

 

 

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :