PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL perkenal program Cakna OKU, Trek Huffaz

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 APR: Universiti Selangor (UNISEL) memperkenalkan program Cakna Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Tahun Asas Trek Huffaz bagi kemasukan pelajar baharu sesi April.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, inisiatif baharu itu bertepatan hasrat menjadikan institusi pengajian tinggi berkenaan sebagai peneraju dalam bidang pendidikan, di Malaysia.

“UNISEL Cakna OKU dilaksanakan menerusi Unit Kaunseling dan Latihan di bawah Hal Ehwal Pelajar bagi memberi kemudahan serta perhatian khusus buat pelajar terutama yang berada dalam kategori kelainan upaya.

“Selain membantu daripada segi kemudahan, inisiatif ini juga akan memberi penekanan daripada aspek latihan intervensi, motivasi kepada pelajar dan menyediakan fasiliti bersesuaian kepada pelajar daripada golongan kelainan upaya,” tulisnya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, program Tahun Asas Trek Huffaz diperkenalkan bagi memberi peluang kepada pelajar yang pernah mengikuti aliran tahfiz untuk melanjutkan pengajian di peringkat Tahun Asas.

Terdahulu, pendaftaran pelajar baharu, di Dewan Canselor UNISEL Kampus Bestari Jaya berjalan lancar, pada Ahad lalu.


Pengarang :