KUALA LUMPUR, 11 April — Pengarah Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Adam Amiruddin (dua, kanan) dan Ahmad Razuki Roseli (dua, kiri) bergambar bersama maskot Upin dan Ipin pada sidang media hari ini. Filem animasi kedua terbitan Les’ Copaque Production itu meraih kutipan RM25 juta hanya selepas 3 minggu tayangan dengan jumlah penonton mencecah 2 juta orang. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal kutip RM25 juta

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Filem animasi ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ mencatat kutipan tiket RM25 juta hanya dalam tempoh tiga minggu, sejak ditayangkan pada 21 Mac lalu.

Filem tempatan terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang menemui kira-kira dua juta penonton di Malaysia itu juga bakal menembusi pasaran antarabangsa dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita memasuki pasaran Vietnam yang mana proses alih suara dilakukan sebelum menemui penonton di sana pada 26 April nanti,” kata Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Razi.

Beliau ditemui pada sidang media khas kutipan pecah panggung filem itu, di sini hari ini.

Katanya, filem itu juga akan menembusi pawagam Indonesia mulai 9 Mei yang menurutnya satu kejayaan membanggakan kerana bukan mudah untuk sebuah filem animasi tempatan menembusi pasaran negara jiran.

“Buat pertama kali, sebuah filem animasi (kita) dapat ditayangkan bukan di beberapa pawagam tetapi di seluruh Indonesia.

“Permintaan ini sangat luar biasa dan sudah tentu ia menjadi satu pengiktirafan kepada hasil karya anak tempatan dalam animasi,” katanya.

Burhanuddin berkata, pihaknya juga bakal menandatangani perjanjian dengan pengedar filem dari China pada 19 April ini untuk memasarkan filem animasi itu di negara berkenaan.

Beliau positif filem itu akan diterima baik penonton di sana setelah dialih suara ke bahasa Mandarin.

Filem itu mengisahkan pengembaraan kembar animasi Upin dan Ipin bersama rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng dikenali sebagai Inderaloka selepas menemui sebilah keris.

Pengarah kreatif filem itu, Adam Amiruddin berkata, kehadiran permainan video Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal The Game pula diharap memberi pengalaman berada di Inderaloka secara berterusan kepada peminat.

Permainan video yang boleh dimuat turun sejak 15 Mac lalu dibangunkan Les’ Copaque Game Development Incorporated.

“Kita mahu peminat dapat bermain dan pada masa sama merasai pengalaman di Inderaloka, sekali gus menjadi kesinambungan pembawaan elemen hikayat Melayu lama daripada filem ke permainan video,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :