SELANGOR

Utamakan keselamatan sepanjang Retromania Grand Gathering 2019

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LANGAT, 13 APR: Pengunjung Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib, Kuala Langat dinasihatkan supaya mementingkan aspek keselamatan sepanjang dua hari berada di sini.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin berkata, kawasan Kuala Langat pastinya sesak dengan kehadiran penunggang dan peminat motosikal dari seluruh negara demi menjayakan penganjuran Retromania kali ketujuh itu.

“Kita harapkan semua perancangan dan aturan majlis berjalan lancar.

“Aspek keselamatan pengunjung yang hadir hari ini amat penting khususnya penunggang motosikal.

“Kita harap semua dapat pulang dengan selamat dan langkah keselamatan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Pantai Morib malam ini.

Beliau berkata, program ini pastinya memberikan impak besar kepada kawasan Kuala Langat dan diharapkan dapat mencapai objektif digariskan penganjur.

Retromania Grand Gathering sentiasa mendapat tempat di hati peminat motosikal dari seluruh negara dengan pelbagai model dipamerkan sepanjang dua hari penganjuran.

Penganjuran seperti itu pastinya dinantikan semua kerana ia membuka peluang kepada mereka untuk melihat lebih dekat model motosikal lama atau ‘vintage’ selain mencari alat ganti pada harga berpatutan.

Tidak ketinggalan, Retromania turut menawarkan pelbagai hadiah lumayan berbentuk topi keledar dan dua buah motosikal yang dihias khas menerusi cabutan bertuah untuk dimenangi.

Selain itu, penganjuran seperti ini dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat khususnya peniaga gerai makan dan homestay.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :