SELANGOR

Utamakan prasarana baharu kampung tradisi Gombak Setia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pembangunan prasarana baharu untuk kemudahan penduduk antara agenda yang akan diberi perhatian sebagai usaha memberdaya dan menaik taraf kampung tradisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, terdapat tujuh kampung tradisi yang memerlukan kehidupan lestari antaranya Kampung Gombak Utara, Kampung Sungai Pusu, Kampung Sungai Cincin, Kampung Simpang Tiga, Kampung Tengah, Kampung Changkat termasuk Kampung Kerdas.

Beliau berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang meneliti keperluan terhadap perkara itu bagi merealisasikan hasrat penduduk yang menetap di kampung Melayu tradisi.

“Kita sudah selesai membangunkan sebuah gelanggang futsal di Batu 11, Kampung Gombak Utara dan Kampung Simpang Tiga kepada generasi muda, malahan ada beberapa lagi perancangan lain yang sedang kita laksanakan.

“Kampung Melayu tradisi ini adalah kampung terkenal, cuma sebelum ini tidak kelihatan ekoran tiada tanda nama kampung, jadi saya sudah meluluskan peruntukan lebih RM150,000 untuk MPS melaksanakan kerja pembinaan tanda nama kampung untuk ketujuh-tujuh kampung berkenaan.

“Kita berharap sebelum tiba Syawal, kerja pelaksanaan ini sudah disiapkan dan keluarga yang pulang beraya di semua kampung tradisi dapat melihat perubahan di kampung mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak mengambil alih pentadbiran di DUN berkenaan, Hilman berkata, perkara pertama dilaksanakan ialah mencadangkan kepada MPS untuk menaik taraf Taman Greenwood melalui program Rejuvenasi.

“Langkah awal kita adalah menaik taraf Taman Greenwood seperti dataran, ‘green park’, ‘pedestrian walk’ selain memperindah kawasan itu dengan tanda nama ‘Greenwood’.

“Selepas itu, kita melihat terdapat keperluan disebabkan di hujung Taman Greenwood ada dua kampung iaitu Kampung Simpang Tiga dan Kampung Changkat,” katanya.


Pengarang :