NASIONAL

Wan Azizah hargai media, hubung kerajaan dan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 21 APRIL: Peranan media disifatkan seperti mata pena yang lebih tajam daripada mata pedang kerana kemampuannya menyampaikan mesej yang membangkitkan pelbagai perasaan dalam diri pembaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, media juga menjadi jambatan penting menghubungkan antara kerajaan dan rakyat untuk menyampaikan sebarang dasar mahupun agenda.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada media kerana menjadi jurucakap kepada kerajaan dan rakyat di negara ini.

“Media boleh mengkritik tetapi haruslah bersandarkan kepada fakta,” katanya pada Majlis Minum Petang Media Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Bangsawan, Menara Hasil di sini, hari ini.

Katanya, media juga memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal kerajaan seperti 1Malaysia Development Berhad yang terkenal di seluruh dunia.

Dr Wan Azizah berkata, tugas media hari ini juga tambah mencabar dengan kewujudan media dalam talian, namun ia membolehkan laporan lebih cepat disampaikan kerana hampir semua rakyat memiliki telefon bimbit.

Ketika menyentuh cabaran pengamal media bertugas di lapangan, beliau melahirkan penghargaannya kerana kesanggupan golongan itu menempuh pelbagai cabaran dan rintangan.

“Demi mendapatkan berita, mereka terpaksa bersesak, berhadapan dengan pengawal peribadi, kejar ‘dateline’, karenah pegawai tidak berpuas hati dengan gambar dihasilkan dan lain-lain,” katanya.

Dalam majlis itu, Dr Wan Azizah meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra dengan petugas media dan menariknya, beliau turut mencuba pelbagai permainan sukan dalaman.


Pengarang :