SELANGOR

Warga asing tiada, MPS nafi maklumat bocor

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 4 APR: Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menafikan berlakunya kebocoran maklumat susulan ketiadaan warga asing di beberapa gerai perniagaan dalam Operasi Bersepadu Peniaga Warga Asing di sekitar Pasar Borong Selayang, malam tadi.

Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata, kawasan Selayang Utara memang terkenal dengan aktiviti perniagaan dalam kalangan warga asing terutama di tepi jalan yang merupakan kawasan larangan berniaga.

“Kalau kita lihat pada malam ini (semalam), apabila kita datang untuk bertanyakan permit, lesen dan sebagainya, peniaga-peniaga semuanya hilang daripada tempat berniaga.

“Ini menunjukkan gerai-gerai dan tempat perniagaan tadi terdiri daripada dalam kalangan warga asing.

“Kita rampas barangan semua bahan jualan seperti sayur, ikan dan buah-buahan untuk malam ini (semalam),” katanya.

Mengulas mengenai insiden kekecohan yang berlaku antara beberapa peniaga dan pihak berkuasa, Dr Juhari menjelaskan, secara asas pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengeluarkan lesen atau permit perniagaan kepada warga asing.

Katanya, PBT hanya boleh merampas barangan perniagaan memandangkan tindakan penangkapan warga asing dibawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.

“Apabila kita buat operasi memang ada dalam kalangan mereka (peniaga) yang berkata mempunyai lesen dan permit.

“Tapi sebenarnya kalau kita lihat tadi mereka sebenarnya tidak mempunyai lesen dan permit rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Operasi pada jam 8.30 malam itu membabitkan lima lori dengan disertai 153 anggota terdiri daripada Bahagian Perlesenan, Bangunan, Sisa Pepejal dan Penguatkuasa MPS, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 


Pengarang :