SELANGOR

Warga emas puji pelaksanaan YIDE sedia pusat dialisis

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Inisiatif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menubuhkan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendapat pujian warga emas yang mendapatkan rawatan di situ.

Mohd Sidek Mokthar, 65, berkata pusat dialisis itu banyak memberi kemudahan terutama kepada golongan asnaf sepertinya.

“Saya mula mendapatkan rawatan di sini sejak empat bulan lalu apabila dikesan mempunyai sakit buah pinggang, pada masa itu.

“Bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada YIDE dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana menubuhkan pusat dialisis ini, sekali gus meringankan beban pesakit daripada perlu menanggung kos rawatan yang agak tinggi di luar sana,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Napsiah Lebai Muhammad, 73, berkata beliau sebelum ini mendapatkan rawatan di salah sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur dan terpaksa berulang alik dengan jarak yang jauh.

Katanya, apabila mengetahui YIDE menubuhkan pusat dialisis berhampiran rumahnya, beliau dan keluarga mengambil keputusan untuk bertukar melakukan rawatan di situ.

“Di sini mudah kerana ada van pusat dialisis ambil dan hantar kami (pesakit) dan kita tidak perlu fikir soal pengangkutan lagi memandangkan saya perlu melakukan rawatan di sini hampir setiap hari.

“Terima kasih kepada YIDE dan LZS kerana banyak membantu memudahkan urusan pesakit,” katanya yang sudah 21 tahun menghidap sakit buah pinggang.

YIDE kini mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS di Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat dialisis itu menyediakan 43 mesin hemodialisis bagi menampung kapasiti pesakit daripada pelbagai peringkat usia.

Rawatan hemodialisis adalah salah satu peranan YIDE dalam memberi khidmat sokongan kebajikan khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan.


Pengarang :