NASIONAL

Wisma Putra lebih berwaspada sampaikan maklumat berkaitan isu, dasar

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkara dan dasar penting susulan kontroversi yang melanda isu Statut Rom, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat juga keperluan untuk mendedahkan pembohongan dan manipulasi fakta yang menyelubungi isu Statut Rom yang telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Mungkin kami boleh berkomunikasi dan menjelaskan perkara ini dengan lebih baik kepada orang ramai. Bagaimanapun kami juga berdepan dengan golongan yang gemar memanipulasi fakta. Mereka tidak menjelaskan perkara sebenar.

“Manipulasi fakta kadangkala ditambah dengan tindakan membangkitkan ketakutan awam, dan manipulasi fakta akibat kebimbangan tidak berasas tidak sepatutnya berlaku, sehingga menyebabkan kabinet mengambil keputusan sedemikian (untuk menarik diri daripada Statut Rom).

“(Kami) belajar selepas menangani isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa),” katanya kepada pemberita dalam temu bual di pejabat beliau di Wisma Putra di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa ICC menjadi isu sehingga menyebabkan Malaysia membuat keputusan untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Menteri berkenaan berkata setakat ini beliau telah muncul dalam dua rancangan bual bicara untuk mendedahkan pembohongan selain memaklumkan fakta mengenai statut itu kepada orang ramai.

ICC telah diwujudkan pada 2002 dan ditadbir oleh Statut Rom.

ICC merupakan mahkamah jenayah antarabangsa tetap pertama yang berasaskan perjanjian dengan tujuan menamatkan kekebalan bagi pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Malaysia telah menandatangani Statut Rom pada 4 Mac 2019 dan menghantarnya kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari yang sama.

Pada 5 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC susulan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, serta menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan kerana Statut berkenaan berbahaya kepada negara.

Sementara itu, dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB ke-73 di New York pada September 2018, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan meratifikasi semua instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia.

Berikutan itu, pada Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam perjanjian termasuk ICERD dalam suku pertama 2019.

Bagaimanapun pada November 2018, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD dan berkata, ia mengambil pandangan umum sebelum membuat sesuatu keputusan.

Saifuddin berkata, kementerian itu telah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa pemilihan berkaitan dasar luar di parlimen, yang bakal menjadi platform bagi membincangkan isu-isu sedemikian pada masa akan datang.

Beliau menegaskan bahawa membawa perjanjian dan persetujuan kepada jawatankuasa pemilihan adalah satu langkah yang baik namun “Saya tidak pasti jika anda ingin berdebat di depan jawatankuasa itu.”

Menteri itu memberi amaran bahawa langkah itu akan mewujudkan satu dahuluan baharu dalam proses membuat keputusan.

“Dalam kita berusaha untuk berunding, perlu ada jalan untuk berbuat demikian. Dan cara kita ialah melalui platform jawatankuasa pemilihan kerana ia sesuatu yang membabitkan parlimen, sesuatu yang orang boleh faham,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan tidak boleh berdepan satu situasi yang menyaksikan segala-galanya perlu dibawa ke parlimen.

“Ya, terdapat perkara yang anda perlu dapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan perkenan Raja-Raja Melayu, namun ICC bukanlah antara perkara itu,” katanya.

Menteri itu berkata, pada masa lalu, lebih 100 perjanjian sama ada telah ditandatangani, atau ditandatangani dan diratifikasi pada masa yang sama oleh Malaysia. Daripada jumlah itu, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik adalah satu-satunya perjanjian yang dibentangkan di parlimen.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :