BERITA UTAMASELANGOR

WRC 2019 bukti Selangor kuasai ekonomi Malaysia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APR: Pemilihan Selangor sebagai pelaksanaan Banci Perdagangan Borong dan Runcit (WRC) 2019 membuktikan negeri itu menjadi kuasa ekonomi di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor adalah gerbang utama yang menjadi nadi pembangunan negara daripada aspek pengeksportan dan pengimportan barangan dengan nilai dagangan berjumlah RM430 bilion atau mewakili 33 peratus pada 2017.

“Senario ini menjadikan Selangor sebagai pemangkin utama dalam merancakkan aktiviti pemborongan di Malaysia malah bertepatan dengan pencapaian Selangor yang menjadi ‘game changer’ buat seluruh negara.

“Justeru, banci ini adalah wadah penting bagi memupuk kesedaran, pendedahan dan kefahaman kepada pertubuhan perniagaan serta komuniti bahawa pentingnya statistik Perdagangan Borong dan Runcit sebagai peneraju demi pertumbuhan negara lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Seminar Ekonomi Negeri Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit menyumbang sebanyak 21 peratus kepada Keluargan Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor dan 60 peratus dalam sektor perkhidmatan.

Selain keupayaan kewangan stabil, katanya, aspek tadbir urus yang kukuh memberi impak kepada hasrat merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :