SELANGOR

Zikra buka mata pengeluar zakat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan Ziarah Korporat ke Asnaf (Zikra) memberi pengalaman kepada pengeluar zakat untuk melihat sendiri kesusahan golongan itu di depan mata.

Wakil syarikat Medidata Sdn Bhd, Haslina Hassan berkata, beliau yakin agihan zakat akan terus diperluaskan dan berterusan membantu mereka yang memerlukan.

“Ziarah Zikra selama satu hari ke Kuala Selangor ini sedikit sebanyak mengajar saya untuk bersyukur dengan apa yang ada dan jangan sesekali mengeluh.

“Saya menyambut baik inisiatif LZS melaksanakan Zikra kerana ia dapat membuka mata bahawa ramai lagi menjalani kehidupan lebih susah daripada kita,” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif Kanan Sumber Manusia Malaysia Airport Berhad, Haryati Ibrahim berkata, Zikra memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada penerima tetapi pemberi zakat turut dapat melihat sendiri kehidupan sebenar asnaf yang dibantu.

“Usaha LZS ini akan menjadi pendorong kepada syarikat lain untuk bersama mengeluarkan zakat dan membantu golongan asnaf,” katanya.

Semalam, LZS mengadakan lawatan Zikra ke Kuala Selangor selama satu hari bagi mendekatkan para pemberi dan penerima zakat di di negeri ini.

Lawatan itu diadakan di beberapa lokasi terpilih antaranya Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor, lawatan ke bengkel jahitan asnaf dan lawatan ke projek kedai asnaf (MyTabib).


Pengarang :