SELANGOR

Zikra rapatkan jurang pemberi dan penerima zakat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 25 APRIL: Sebanyak 10 syarikat korporat terbabit menjayakan Program Ziarah Korporat ke Asnaf (Zikra) ke Kuala Selangor, hari ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Muzaki Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Syahril Zainol berkata, Zikra adalah inisiatif LZS membawa wakil syarikat korporat selaku pengeluar zakat untuk bertemu sendiri penerima zakat.

Katanya, ia bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat selain mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan yang dilaksanakan di Selangor.

“Hari ini, kita bawa pengeluar zakat menaiki bas bersama untuk dibawa ke lokasi asnaf di Kuala Selangor bagi menziarahi dan melihat sendiri aktiviti asnaf LZS, selain menyelami realiti kehidupan mereka.

“Kita optimis dengan inisiatif Zikra yang dapat memberi pengalaman kepada pengeluar dan penerima zakat kerana kadangkala ada antara mereka tidak pernah bersua antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Agihan Ramadhan dan Hari Raya Asnaf Fakir Miskin di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Syahril berharap lebih banyak syarikat korporat terbabit dalam membantu asnaf, pada masa hadapan.

“Saya berharap bantuan diberikan dimanfaatkan sebaiknya penerima terutama untuk persediaan menyambut Ramadhan dan Aidilfitri yang bakal menjelma.

“Malah, kita juga menyeru usahawan terutama dalam kalangan asnaf mampu berdikari dan menggunakan zakat diterima ke arah lebih baik dan berusaha keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, antara 10 syarikat korporat terbabit dalam lawatan Zikra adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kumpulan Perangsang, Management and Science University, Maybank dan Kumpulan Naza.


Pengarang :