BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 anggota JPBM siap siaga sepanjang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 25 MEI: Sebanyak 10,000 daripada jumlah keseluruhan 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan digerakkan dan bersiap-siaga sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hanya lebih kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota JBPM dibenarkan bercuti pada Aidilfitri.

“JBPM memainkan peranan penting pada setiap kali sambutan Aidilfitri. Untuk tahun ini satu klip video dilancarkan bagi mendidik orang awam tentang cara-cara menyelamatkan diri dan memadamkan api ketika kebakaran,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 JBPM di sini, hari ini.

Sementara itu, JBPM dalam kenyataannya yang diedarkan pada majlis berkenaan berkata, seramai 170 anggota, 17 unit jentera bomba Fire Rescue Tender dan 17 unit jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) akan ditugaskan di 17 lokasi terpilih di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.

“Pegawai yang terlibat perlu berada di lokasi penempatan yang ditetapkan atau membuat rondaan di sepanjang lebuhraya,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :