SELANGOR

11 PATI dicekup Imigresen Selangor ketika sedang tidur

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 4 MEI: Seramai 11 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur terpinga-pinga apabila kediaman diduduki mereka diserbu dalam Operasi Bersepadu di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan bermula jam 1 pagi itu terdiri daripada sembilan warga Indonesia termasuk empat perempuan, manakala dua warga Bangladesh berusia lingkungan 23 hingga 56 tahun.

Operasi yang digerakkan dengan kekuatan 172 anggota Jabatan Imigresen Selangor termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu adalah hasil risikan serta maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang mendiami PPR terbabit.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 800 unit di dua blok pangsapuri berkenaan.

“Antara kesalahan adalah tiada sebarang permit dan pas yang sah, malahan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan dijalankan.

“Dalam pemeriksaan di unit-unit ini juga tiada kejadian lari, tetapi pada peringkat awal di kedai berhadapan blok ini terdapat warga asing yang melarikan diri kerana di situ tempat terbuka.

“Kesemua mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mengulas kedatangan PATI ke Selangor melalui sindiket haram, beliau berkata, kebanyakan daripada mereka sanggup membayar sejumlah wang kepada sindiket terbabit demi mendapatkan pekerjaan di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut berkaitan perkara itu memandangkan ada segelintir PATI yang melalui pintu masuk secara sah.

“Mereka cuba mendapatkan pekerjaan dengan membayar sejumlah wang kepada ejen tetapi mereka mungkin ditipu sedangkan tidak dapat pekerjaan dan permit sah, jadi mereka masih di sini.

“Di pihak imigresen terdapat kesalahan di situ, mereka sudah tinggal lebih masa dan tiada dokumen kerana dipegang ejen. Sebab itu kita tahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

 


Pengarang :