123 awak-awak, 25 bot nelayan Vietnam ditahan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

123 awak-awak, 25 bot nelayan Vietnam ditahan

PUTRAJAYA, 18 MEI: Seramai 123 orang awak-awak warga Vietnam ditangkap dan sebanyak 25 buah bot nelayan ditahan menerusi Ops Naga yang dilakukan di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 2 hingga 16 Mei.

Menurut Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan di sini, penahanan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 266 vesel melalui operasi bersepadu yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama beberapa pasukan keselamatan lain.

Selain APMM, operasi itu turut melibatkan agensi keselamatan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Pasukan Polis Marin; Pasukan Gerakan Udara PDRM dan Jabatan Perikanan.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, dengan kejayaan itu, Ops Naga akan diteruskan bagi memastikan perairan negara tidak terus dicerobohi dan nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan saingan daripada nelayan asing.

Pengumuman penubuhan pasukan khas itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 April lepas yang antaranya bertujuan menangani aktiviti bot nelayan asing terutamanya bot nelayan Vietnam daripada terus berleluasa di perairan negara.

Penubuhan pasukan khas turut menyaksikan dua jawatankuasa kecil dibentuk iaitu Jawatankuasa Penguatkuasa Undang-Undang dan Jawatankuasa Dasar dan Perundangan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa operasi bersepadu antara APMM dengan Jabatan Imigresen pada Selasa lepas menyaksikan 15 nelayan warga Vietnam ditahan.

Mereka yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi sijil Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki palsu.

Satu daripada rumah yang diserbu juga disyaki menjalankan aktiviti sebagai tonto berdasarkan penemuan alat komunikasi radio HF dan kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next