KUCHING, 22 Mei — Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah menunjukkan senarai suspek yang dikehendaki polis pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak hari ini. ?– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONAL

13 kes ‘along’ direkodkan sehingga Mei

KUCHING, 22 MEI: Sebanyak 13 kes berhubung salah laku pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘along’ direkodkan setakat Januari hingga Mei ini yang melibatkan kerugian sejumlah RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan individu telah ditahan, enam didakwa dan masih dalam perbicaraan.

“Tiada sesiapa pun berhak melakukan kekerasan atau mengganggu gugat keselamatan orang lain.

“Sekiranya ada peminjam yang dikasari, anda harus berani tampil ke balai berdekatan untuk membuat laporan. Segala maklumat akan dirahsiakan dan keselamatan anda akan dipantau oleh pihak polis,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Mustafa berkata semalam, dua lelaki berumur 27 dan 38 tahun yang disyaki along ditahan kerana menimbulkan kekecohan di sebuah restoran.

“Polis kini sedang mencari saki-baki sindiket (along) yang dipercayai bergerak secara berasingan di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Kedua-dua suspek kini sedang disoal siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 29A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan pinjaman wang daripada institusi yang sah dan berdaftar serta oleh menghubungi CCID Infoline di talian 013- 211 1222 untuk sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat untuk disalurkan.

Pada masa sama, Mustafa berkata, JSJK Sarawak kini sedang mengesan 96 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan polis.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh individu berkenaan adalah kes tipu, pecah amanah, kesalahan jenayah komputer, salah guna harta dan kes VCD/DVD lucah.

“Sejumlah 78 individu dikehendaki untuk membantu siasatan bagi kes tipu yang melibatkan Macau Scam (11 individu), African Scam (6), tipu menyamar (5), tipu cek (4), tipu dalam talian (4), tipu kebajikan (3), pelaburan (3), tipu tanah (3), pelancongan (2), tipu bomoh (1), tipu toto (1) dan lain-lain (35).

“Kes pecah amanah seramai 14 individu, Akta Jenayah Komputer dua individu dan salah guna harta dengan curang seorang sahaja. Kesemua yang dikehendaki adalah orang tempatan,” katanya.

Mustafa berkata, individu yang paling dikehendaki polis adalah Mohd Azlan Mat Muda, 30, beralamat di No.6, Kampung Pandan Lundu bagi membantu siasatan kes tipu pelancongan.

“Setakat ini, seramai 62 orang menjadi mangsa dan 34 laporan polis telah dibuat yang melibatkan kerugian kira-kira RM130,000 dan sehingga kini suspek masih aktif menipu,” katanya.

Untuk senarai nama individu yang dikehendaki, layari laman sosial Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi ASP Pricha Azin di talian 019-889 7640, ASP Arthur Medang di talian 013-76009771 atau Insp Hamizan Ismail di talian 016-445 5695.

-BERNAMA


Pengarang :